UNSUR ESTETIKA DALAM PUISI USMAN AWANG
oleh Amida Abdulhamid
Pengenalan
Dua kata kunci yang menggaris penulisan kertas kerja ini ialah ‘estetika’ dan kehadiran unsur estetika berkenaan dalam ‘puisi’ Usman Awang. ‘Estetika’, yang sering disinonimkan dengan falsafah seni, ialah satu cabang teori nilai yang mengkaji nilai-nilai yang dicetuskan panca-indera. Penilaian estetika tertakluk kepada ketajaman deria pada tahap permulaan. Deria yang sensitif akan dapat menghayati kecantikan sekuntum bunga mawar yang sedang mekar, atau dapat mengapresiasi kehalusan tekstur warna pada sebuah karya catan, atau dapat menikmati keharmonian melodi dan rentak sebuah irama. Penilaian estetika yang unggul akan dapat melangkaui tahap awal sensitiviti deria lantas, dengan meditasi dan kuasa renungan makrifat, dapat disadap intipati pemikiran yang tersirat di sebalik apa yang dirasai panca-indera. Justeru penilaian estetika berhubung rapat sekaligus dengan tiga fakulti iaitu fakulti panca-indera, emosi, dan intelek.
Cabang teori nilai ini juga sering dikenali sebagai nilai citarasa yang mengenal pasti tentang apakah yang membuat sesuatu itu cantik, comel, harmoni, jelek, menyeronokkan, mengecewakan, tragis, menggelikan hati, atau sublim (menakjubkan). Proses pengenal-pastian nilai citarasa ini boleh berlaku pada lunas-lunas subjektif dan kemudian diselaraskan kepada lunas objektif. Pada dasarnya seseorang yang sudah mendalam kajiannya tentang bentuk dan stilistik catan akan berada pada tempat lebih menguntungkan untuk menilai ukuran estetika pada catan daripada orang lain yang tidak mengambil berat tentang selok belok catan. Walau apa pun sistem yang digunakan untuk menggalurkan unsur estetika pada karya seni, segala pandangan dan penilaian estetika itu bertolak pada hukum sebab-akibat. Sudah pasti sesebuah karya seni itu mempunyai sebab-sebab yang menyumbang kepada efek nilai estetikanya.
Karya seni berlainan genre, sama ada seni tampak atau seni persembahan – catan, ukiran, kesusasteraan, muzik, drama, tarian, nyanyian – mempunyai aspek-aspek berbeza untuk menentukan nilai estetika dunia masing-masing. Dalam mencerakin nilai estetika pada karya kesusasteraan, pengajian unsur estetikanya menuntut pembacaan yang amat prihatin mendalam yang menimbulkan kesan penganalisisan pada penerimaan pembaca. Dalam puisi, penyair menggunakan pelbagai wahana untuk menjentik dan menguja sensitiviti estetika pembaca. Tertakluk kepada matlamat yang mahu dihidupkan, penyair menggunakan wahana seperti wajah-wajah retorik klasik, ritme, ilustrasi, jukstaposisi, dualisme, imageri, ketegangan, kejutan, humor, satira, sindiran, fantasi, anjakan waktu, berfikir secara kuat, struktur, dan wacana untuk menyampaikan logos puisinya dengan makna yang lebih memukau.
Unsur fantasi
Sajak-sajak Usman Awang diilhamkan dari gejolak dunia yang penuh sengketa dengan bilah-bilah derita dan rembesan airmata. Perang meninggalkan kesan yang menghiris jiwa sensitifnya. Namun terdapat sebuah sajak yang, pada pembacaan pertama, akan menimbulkan reaksi romantisme dan fantasi. Dari imageri yang digunakan, terang sekali maksudnya yang fantasi itu. Namun apabila dihalusi, yang fantasi itu melangkaui unsur fizikalnya lalu membawa kepada pemaknaan metafizikal yang amat mendalam. Sajak yang dimaksudkan ialah Kekasih, 1971. Gambaran menyeluruh sajak ini yang menggunakan wajah anafora dengan perulangan kalimah ‘Akan aku...’ pada setiap pembuka bait kecuali bait terakhir, sekaligus perulangan itu menimbulkan pola paralelisme yang berdisiplin. Imageri ‘buih-buih’, ‘gelombang-gelombang’, ‘awan gemawan’, ‘bayu gunung’, ‘bintang timur’, ‘bulan gerhana’, ‘matari’ membawa maksud denotatif yang mudah difahami, namun implikasi konotatifnya menuntut renungan yang lebih teliti untuk mendapatkan impak metafizikalnya.
Objek buih membawamaksud suatu kesementaraan kerana buih adalah suatu lapisan nipis cecair, lazimnya lutsinar berbentuk sfera yang di dalamnya gas terperangkap; dan buih ini mudah pecah sebagaimana terjadinya pada buih sabun. Maka itu hasrat untuk mengikat dengan ‘buih’ ialah suatu usaha yang sia-sia dan tidak kekal.
Menganyam gelombang untuk dijadikan ranjang tidur dapat mendukung maksud harfiahnya: tilam air (waterbed). Namun maksud imageri itu tidak terhenti di situ. Objek gelombang lazimnya diasosiasikan dengan lautan yang merupakan sumber khazanah hidupan laut dan pelbagai harta dari pelbagai bentuk bernilai seperti permata dan emas hitam. Nah, bagaimanakah rasanya untuk tidur bertilamkan segala kemewahan dan kemakmuran? Gambaran keselesaan dan puas hati terpampang di mata.
Secara fizikalnya, awan-gemawan ialah wap air yang bergumpalan seperti kapas putih yang berarak di langit luas. Awan ini membawa bekalan air untuk dihujankan ke bumi dan memakmurkan bumi dengan kehijauan tanaman. Lantas jika awan gemawan itu dijadikan tudung menutupi rambut, secara konotatifnya menyerahkan segala kasih sayang bagi kesejahteraan seseorang.
Bayu gunung lazimnya membawa kesan rasa dingin yang selesa. Maka itu jika pakaian malam itu dingin lagi selesa, maka tidurnya, insya Allah, lena dan merehatkan. Bintang timur pula lazimnya dikaitkan dengan pelaut dan nelayan yang menggunakan bintang sebagai penunjuk arah apabila berada di tengah segara maha luas. Alangkah intelektual sifatnya untuk menggunakan bintang menjadi penunjuk jalan oleh hati iaitu organ paling dekat dengan dada? Bererti hati (dada) tidak akan bertindak secara melulu emosional. Apabila sudah ada bintang yang menunjuk arah, maka keputusan yang dibuat hati ialah keputusan yang rasional. Tindakan yang rasional akan menjamin situasi yang stabil dan selamat, demikian secara lazimnya.
Seterusnya imageri bulan gerhana mencadangkan sesuatu fenomena yang tidak selalu berlaku. Maka itu usah dilayan rindu yang mungkin menggoda, tetapi cukup sekadar melayani rindu itu sekali sekala. Rindu yang berpanjangan lagi berterusan mungkin disebabkan rasukan emosi yang tidak terbendung dan ini mungkin memudaratkan. Lalu imageri matari (mungkin ‘matahari’) yang dijadikan ‘malammu’ itu ialah matahari yang dijinakkan hingga cahayanya menghilang dan tidak memanaskan. Sayangnya matari itu akan ‘menghirup sakar madumu’ yang membawa kepada anti klimaks yang tidak disangkakan. Matahari pemberi cahaya dan tenaga inilah yang menamatkan segala nadi kemanisan hidup. Justeru impian dan hasrat yang indah-indah sering digunakan untuk membuang realiti kegetiran hidup jauh-jauh agar hidup menjadi sesuatu yang boleh digalas.
Siapakah ‘kekasih’ dalam sajak ini? Berdasarkan imageri selendang untuk menutup rambut, dan imageri bintang untuk dijadikan kreosang, maka kecenderungan saya mengatakan ‘kekasih’ itu seorang wanita. Namun adakah di situ sahaja konotasinya? Mungkin ‘kekasih’ itu boleh merujuk kepada tanah air, sebagai satu alternatif. Memandangkan obsesi Usman Awang kepada pergolakan tanah air (juga dunia), maka sajak Kekasih ini mungkin satu sindiran getir halus kepada aspirasi dan impiannya terhadap perkembangan tanah air – bahawa impiannya untuk melihat negara yang makmur (di desa dan di bandar) dengan aspek kesuburan, kemakmuran, keintelektualan hanyalah impian (ilusi) yang diada-adakan untuk menopengi realiti yang kejam. Retorik Usman Awang yang lembut berjaya mengelirukan realiti – dan beliau ialah penyair yang menegur dengan penuh kelembutan. Pada kelunakan retorikanya tersisip hirisan yang mencalar sanubari. Dengan menggunakan visual fantasi beraura romantisme, Usman Awang menyuntik kekecewaan dan sindirannya terhadap gejolak dunia yang mengerikan. (Maaf sekiranya saya mengkhianati aura romantisme yang selama ini diasosiasikan dengan sajak ini).
Kesimpulan
Pembacaan tiga buah kumpulan/antologi puisi Usman Awang memberi nikmat yang sukar terucapkan dari aspek estetikanya. Puisi-puisi ini menggunakan beberapa wahana susastera untuk menyerlahkan ketegasan maksud, menghidupkan suasana dan mood yang kadang kala kecewa, kadang kala penuh simpati, dan kadang kala sarat dengan nilai kemanusiaan. Kelicikan Usman Awang memanipulasi wajah retorika dapat menukarkan hal yang berunsur vulgar dan erotis kepada sesuatu yang ada humor dan menggelikan hati. Perubahan tekstur ini meningkatkan mutu estetika dan sekaligus meninggikan nilai puisi berkenaan. Kecenderungan Usman Awang menggunakan beberapa aspek dalam wacana naratif untuk meluahkan pemikiran dan perasaannya melalui puisinya membantu menyuntik tenaga ke dalam karyanya. Puisi dalam wacana naratif ini hidup dengan aksi, dialog, panorama latar, yang menyumbang kepada keindahan genre ini. Sungguhpun Usman Awang kelihatan sebagai menjulang romantisme (daripada pemilihan kalimah dan struktur retorikanya) namun aura romantismenya itu hanyalah sebuah ilusi, kerana di sebalik ilusi itu tersembunyi realiti yang menyesak dan mendamba perhatian dan perasaan Sasterawan Negara ini.
Sedutan Pilihan daripada Jurnal Pemikir, Jan - Mac 2011
No comments:
Post a Comment