Sunday, 10 April 2011

ISTANA BEREMBUN: PAK SAKO DENGAN JATI DIRI KEBANGSAAN YANG TIADA KOMPROMI

Cerpen pilihan abad ke-20 Istana Berembun



ISTANA BEREMBUN: PAK SAKO DENGAN JATI DIRI KEBANGSAAN YANG TIADA KOMPROMI
Oleh Amida Abdulhamid

       
            Cerpen-cerpen Pak Sako yang ditulis pada sekitar tahun-tahun 1938 hingga 1940 dalam kumpulan ini dipersembahkan dalam acuan realisme, mengambil fenomena realiti milieu zamannya sebagai model qiyas di samping menitipkan sindiran dan amaran kepada pembaca. Pada liku ini terserlah peranan didaktik penulis untuk memandu dan menunjuk ajar pembaca kepada pembentukan peribadi dan jatidiri yang diyakininya wajar dijadikan teras kebangsaan bangsa Melayu dalam sebuah tanah air yang bergolak panas.
                Pak Sako memerhati, menulis, menghibur, mengingatkan, mengkritik, merancang bukan hanya dalam karyanya, malah apa yang dirakamkannya itu dipraktikkannya. Isu politik disentuh dalam cerpennya, dan beliau sendiri bertindak cergas dalam politik negara. Beliau menjadi pemimpin Kesatuan Melayu Muda (KMM) pada tahun 1941, dan memimpin Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) pada tahun 1945. Beliau pernah ditahan (1941, 1948, 1965) kerana kegiatan politiknya. Pak Sako berjuang bukan sahaja dalam karyanya, tetapi perjuangan itu menjadi landasan hidupnya juga.
            Kajian ini akan cuba mengolah karya-karya dalam kumpulan Istana Berembun dari aspek penerimaan pembaca: resensi, dengan sokongan dialektik falsafah. Di antara isu yang dianggap penting dan besar ialah kehadiran bangsa asing dalam negeri Tanah Melayu; takrif Melayu yang merangkumi aspirasi Melayu dalam menjunjung  keunggulan kesenian Melayu.
ISTANA BEREMBUN: JATIDIRI KEBANGSAAN YANG TIADA KOMPROMI
Pak Sako sebagai Pemerhati
Membaca beberapa buah cerpen Pak Sako akan mengingatkan kita kepada Hikayat Munsyi Abdullah. Munshi Abdullah, dalam Kesah Pelayaran Abdullah, melaporkan pola kehidupan orang Melayu di tiga buah negeri berkerajaan Melayu iaitu Pahang, Terengganu, dan Kelantan. Di negeri Pahang, Munshi Abdullah terkejut melihat keadaan negeri yang sunyi dan miskin, walhal Pahang ialah sebuah negeri yang pernah masyhur dan subur tanahnya.
          

                                                                


            Kemesraan dan keramahan orang Melayu (dulu dan sekarang) bukanlah satu dosa jika memliki sifat tersebut. Kemesraan dan keramahan akan melahirkan persahabatan (mahabbah) dan keharmonian, yang dapat menjadi aset kepada kesejahteraan dan keamanan sesebuah negara. Persahabatan, menurut Miskawayh (penulis tersohor tentang etika Islam: meninggal 1030), ialah prinsip primer dalam perhubungan sosial. Sifat individu yang kurang sermpurna dan kurang berkeupayaan menyebabkan individu itu tidak dapat memenuhi keperluan asasnya tanpa kerjasama dari warga sekelilingnya. Individu itu harus bekerjasama sebagai satu badan yang semua organnya berpadu menjalankan satu aktiviti yang dapat memanfaatkannya (Majid Fakhry:116).
Namun jika keramahan dan kemesraan itu diheret pada tahap ekstrim sehingga orang Melayu tunduk dan patuh kepada orang dagang, maka padahnya akan membawa kecelakaan yang berpanjangan.  Aristotle (384 – 322 S.M.) menggalurkan doktrin kesederhanaan dalam tulisannya Nichomachean Ethics. Kemuliaan itu letaknya antara dua ekstrim iaitu kekurangan dan kelebihan. Orang yang terlalu murah hati dan berbelanja tanpa kawalan dikatakan boros, dan orang yang langsung tidak mahu berbelanja walhal dia berkemampuan berbuat demikian dikatakan kedekut. Maka di antara ekstrim boros dan ekstrim kedekut inilah terletak sifat murah hati yang mulia. Doktrin kesederhanaan ini relatif sifatnya mengikut kemampuan individu.
Keramahan orang Melayu (dulu dan sekarang) amat mendukacitakan Pak Sako. Tanpa mengamalkan konsep kesederhanaan yang dianjurkan Islam, orang Melayu menggadai maruah dan negaranya. Daripada beramah mesra dengan orang dagang, Melayu akan memberi apa saja, mengangguk kepala dengan apa jua permintaan orang dagang (konon untuk menjaga hati orang), sanggup berkorban dan menjadi korban. Mengamalkan sifat peramah ini ialah satu tindakan yang tertakluk pada pilihan individu. Pilihan ini pilihan yang baik kerana tindakannya menggambarkan satu jalinan ukhuwah sesama manusia. Di sebaliknya apabila tindakan ini diamalkan secara berlebihan, akibatnya akan menjadikan semangat Melayu cair, menipis dan langsung hilang jati diri. Keramahan orang Melayu ialah keramahan yang tidak rasional kerana orang Melayu melebihkan menjaga hati orang daripada kebajikan diri sendiri. Tambahan pula sikap orang Melayu yang begitu simpel intelektualitinya: mudah mempercayai apa sahaja tanpa usul periksa atau tanpa sebarang pandangan skeptikal terhadap sesuatu perkara.
Minda Melayu tidak kritis mungkin disebabkan terlalu berbaik sangka sehingga mudah menjilat racun yang disangka madu di tangan orang lain. Maka itulah Melayu mudah tertipu sebagaimana Abdul Razak Khan yang mengakui dirinya berbangsa Arab keturunan Rasulullah dengan mudah menipu orang Melayu di Perak, Selangor, Kedah (‘Dari Perangkap ke Penjara, Kemudian Ke Syurga’, Istana Berembun: 333) , dan senang sekali orang Melayu terhalau ke hutan rimba manakala tanah kebunnya dihuni anjing dan babi. Orang Melayu menjadi pengemis di tanah airnya sendiri sebagaimana yang terjadi kepada Mat Kerengga dalam ‘Anak Dibuat Denak’. . Inilah yang ditakuti Pak Sako, inilah yang dibimbangi Pak Sako tentang nasib orang Melayu.  Sesungguhnya gambaran ini akan menjadi realiti jika Melayu tidak cepat membuat anjakan paradigma dari aspek berfikir dan bertindak.
Visi ideal Pak Sako yang total tentang pentadbiran dan politik negara, serta semangat jatidiri Melayu terlukis dalam cerpen ‘Dari Perangkap ke Penjara, Kemudian ke Syurga’. Melalui watak Abdullah dan Mahmud dipaparkan gelora patriotisme yang ambivalen. Bagi Abdullah ‘tidak ada yang lebih cantik dan lebih bagus daripada kampungnya sendiri’ (Istana Berembun: 306). Mahmud pula tidak mahu menjadi katak di bawah tempurung dan berazam meluaskan pengalamannya dengan merantau (Istana Berembun: 309). Pilihan Mahmud untuk merantau menimbul pelbagai reaksi. Pandangan positif datangnya dari ayahnya sendiri  yang menyokong pemergiannya itu: sesuai dengan sifat anak lelaki yang seharusnya meluaskan pemandangan dan mendalami pengalaman (Istana Berembun: 310). Reaksi yang serupa juga kedengaran dari Yusof, bapa angkat Ramli ketika cuba menenangkan Ramli yang sekian lama tidak mendengar berita ibu bapanya di Tanah Rencong (‘Di Sini Kita Bukannya Orang Dagang’ Istana Berembun: 255, 270). Yusof bersetuju dengan rancangan Ramli yang berazam melawat Pulau-pupau Jawa, Madura, Nias, Selibis, Filipina, Sarawak. Yusof menasihatkan Ramli:

...engkau mesti keraskan semangat engkau jika hendak berjaya dalam pekerjaan yang besar. Engkau cuba melihat bangsa-bangsa lain bagaimana mereka berdagang dan merantau ke negeri-negeri orang. 

            Pengalaman merantau ke Singapura itu membuat mata dan minda Mahmud  terbuka luas, dan dia dapat menilai harga dan maruah bangsa dan negaranya. Dia menjadi pejuang untuk menebus tanah dan harta benda orang Melayu yang tergadai kepada bangsa asing. Pemikiran dan pendirian Mahmud tidak tercemar walaupun dia sudah merantau. Keadaan ini berlawanan dengan pandangan Junjungan Seri Paduka Sultan dalam ‘Istana Berembun’ yang menentang cadangan menghantar Tengku Yahya belajar ke England, Eropah, dan juga ke Mesir atau ke Makkah (Istana Berembun: 115/6). Bagi Seri Paduka Sultan, anak-anak Melayu yang belajar di luar negara akan kembali dengan peribadi yang bukan lagi Melayu tulen dan mereka akan bertindak lebih barat daripada yang barat dan lebih alim daripada ulama tanah air. Kebimbangan Seri Paduka Sultan tidak berlaku ke atas diri Mahmud dalam ‘Dari Perangkap ke Penjara, Kemudian ke Syurga’. Malah semangat Mahmud semakin kukuh untuk memperjuangkan nasib orang Melayu.
            Mahmud langsung tidak ada kompromi dengan bangsa asing. ‘Jangan percayakan seorang pun daripada mereka itu,’ Mahmud memberi amaran. Dengan kerjasama erat dari Abdullah yang bertindak di kampung, anasir asing dapat dibersihkan. Akhirnya timbul kejayaan daripada perjuangan bersama itu


Inilah yang menjadi idaman Mahmud dan Abdullah: tanah Melayu dimiliki dan didominasi oleh orang Melayu; anak-anak muda sepakat berusaha dan hidup makmur bersama keluarga; tanah diusahakan dengan tanaman; kehidupan duniawi diimbangi dengan kehidupan ukhrawi.
            Mahmud dan Abdullah mahukan Tanah Melayu dengan warganya yang bekerja keras untuk menegakkan kedaulatan Melayu; tidak seperti orang Melayu dalam ‘Anak Dibuat Denak’.  Dan Mat Kerengga menjawab

‘Kaya tak kaya ‘tu saya tak tahu tetapi pandai, rajin dan usaha. Orang kita Melayu tak ada yang begitu – cuba macam datuk itu buka kebun macam ini alangkah bagusnya?  
                                                                    (Istana Berembun: 165)
            Orang Melayu yang benar-benar cintakan tanah air tidak akan membazir waktu dengan hal yang tidak mendatangkan faedah sebagaimana yang disuarakan Ariffin dalam ‘Amin! Kepada Encik Amin dan Cik Aminah’ (Istana Berembun: 214): Kalau pada dengan main-main badminton, memajak ronggeng dan berzapin sahaja sejauh manakah yang kita boleh sampai?.                       
Negeri Melayu untuk Orang Melayu
Andaian saya: Pak Sako yang aktif dalam arena politik mempunyai sebuah visi murni untuk negeri Tanah Rencong ini. Setelah menyaksikan sendiri nasib Melayu yang dijajah, Pak Sako mengimpikan sebuah negara yang benar-benar dimiliki dan diperintah serta ditadbirkan oleh orang Melayu. Dengan minda kritis dan sifat perjuangan kebangsaan yang tegas dan tidak berkompromi, Pak Sako mentakrifkan Melayu dalam beberapa buah cerpennya termasuk cerpen ‘Anak Dibuat Denak’:


·        Melayu harus bangun daripada lenyak tidur. Walaupun bangsa lain telah memberi sumbangan membangunkan infrastuktur negara, namun berpuluh-puluh ribu Melayu di merata kampung dan dusun wajar mencari dan menambah ilmu supaya dapat berdiri sama tinggi dengan orang asing. (‘Anak Dibuat Denak’: 173). Dibimbangi bahawa anak-anak Melayu yang dihantar keluar ke negara Barat dan ke Timur Tengah tidak dapat memenuhi kehendak asal pemergian mereka kerana mereka akan menjadi lebih barat daripada orang barat, atau lebih warak daripada alim ulama tempatan. Cerpen ‘Istana Berembun’ menganjurkan fenomena pandang ke timur dengan menghantar  Tengku Yahya ke negeri Jepun untuk mempelajari ilmu dan kemahiran bertenun kain dan membuat pinggan mangkuk (hlm. 126).  Visi Pak Sako melampaui zamannya. Beliau mengusulkan kempen ini sebelum agenda Pandang Ke Timur dianjurkan oleh Dr. Mahathir Muhammad selaku Perdana Menteri Malaysia ke empat.

·        Bagi orang Melayu yang semandala dengan Mat Kerengga disuntik semangat supaya ‘belajar dengan tiada boleh menanti esok dan lusa lagi’ (hlm. 170). Orang Melayu wajar meletakkan ilmu sebagai matlamat utama dalam usaha membangunkan negara. Dengan berbekalkan ilmu itu nanti terbuka bandar baharu, akan terbina jalan raya, keretapi, bangunan, pelabuhan, dan mungkin akan terbina kapal angkasa yang membawa angkasawan Melayu meneroka angkasa lepas.
·        Sekiranya bangsa Melayu mahu selamat maka dianjurkan melakukan perubahan dalam semua aspek kehidupan – peraturan hidup, berumahtangga, adat resam, pekerjaan, pelajaran, pergerakan -  mengikut acuan sendiri yang bermanfaat dan menguntungkan anak bangsa (‘Di sini Kita Bukannya Orang Dagang’: 288). Orang tua keramat dalam cerpen ini bercakap melangkaui zamannya. Membangunkan negara mengikut acuan sendiri yang diwar-warkan baru-baru ini sudah pun divisualisasikan oleh orang tua keramat ini pada tahun 1940. Idea yang besar dan futuristik sifatnya mencerminkan tahap pemikiran tinggi dalam wacana falsafah Pak Sako melalui watak cerpennya.
·        Orang Melayu ‘mesti bersifat seperti air, lemah lembut menyegarkan, bersatu dan bersebati, berbudi dan berguna kepada alam tetapi sungguhpun lembut ada kekerasannya pula’ (‘Di sini Kita Bukannya Orang Dagang’: 288). Air ialah unsur alam yang terulung pentingnya. Di dalam Al Quran Allah berfirman bahawa setiap yang hidup dijadikan dari air (21:30). Air itu unsur alam dalam bentuk cecairnya yang bersih lagi jernih, tanpa warna, tanpa rasa. Air dapat menyesuaikan diri dalam bekas berbentuk apa jua sekalipun. Dalam kuantitinya yang kecil dan sederhana, air menyuburkan tumbuhan yang menjadi makanan dan menghasilkan tenaga manusia. Air akan mencari jalan ruang dan arah untuk melepasi gangguan yang menghalang pengalirannya. Dan air, dalam kuantitinya yang banyak, mampu merosak dan memusnahkan. Maka orang Melayu seharusnya meniru sifat air yang berguna kepada manusia dan alam, ramah subur dan menyegarkan, tetapi boleh, pada tempat-tempatnya, bertindak tegas untuk memperjuang dan mempertahankan kedaulatan bangsa dan tanah airnya.

·        Bangsa Melayu mesti menjunjung kesenian Melayu yang unggul. Kasim dalam ‘Mari Kita Menyanyi’ berdukacita melihat kesenian Melayu yang tercemar: lagu dan nyanyian tidak lagi membawa irama dan semangat Melayu asli kerana sudah dicerobohi pengaruh asing; pantun dan syair tidak lagi memperagakan ketulenan keseniannya (hlm. 86). Kesenian Melayu yang unggul tidak bererti wajah kesenian yang statik. Malah Kasim Keroncong menggembeling tenaga dan bakat membawa perubahan dan inovasi dalam persembahan nyanyian keroncongnya (hlm. 88). Dalam hal ini Pak Sako menganjurkan supaya kesenian Melayu diberi nafas baru tanpa merosakkan bentuk dan semangat pola kesenian itu. Daya kreativiti amat diperlukan untuk menjadikan kesenian Melayu tulen tetapi tetap segar dengan sentuhan seniman kreatifnya. Dalam hal kesenian ini juga Pak Sako sudah dapat meramalkan apa akan jadi pada kesenian Melayu dalam beberapa tahun akan datang, sekiranya tiada usaha dilakukan untuk membendung penularan pengaruh luar seperti pengaruh barat. Kesenian mutakhir, nyanyian misalnya, amat kurang mendendangkan irama Melayu kerana dijajahi rentak asing. Lirik dalam bahasa Melayunya sahaja yang dapat dikesan sebagai menandakan karya itu karya Melayu. Jati diri Melayu semakin hari semakin pupus, dan tidak akan pasti apa akan jadi dalam beberapa tahun akan datang. Dapatkah nanti kita mengesan semangat dan jiwa Melayu jati dalam kesenian Melayu? Sehubungan dengan kesenian ini juga, Pak Sako menganjurkan agar kesusasteraan Melayu, dalam cerpen ‘Surat-surat Sesat’ menjurus kepada seni penulisan (hlm. 137), tidak selama-lamanya klisē. Contoh yang diberikan pada halaman 137 mengingatkan saya pada pengalaman belajar surat kiriman di sekolah (sekitar tahun 1953). Setiap surat kiriman diajar supaya ditulis pembukaannya sedemikian rupa. Dengan secara halus Pak Sako menyelitkan harapan agar kesusasteraan Melayu lari daripada pola klisē yang statik lagi membosankan. Anjakan paradigma yang digalakkan ialah paradigma yang tidak meluputkan semangat dan jiwa Melayu tetapi membawa perubahan yang memanfaatkan bangsa.
·        Orang Melayu tidak harus bermegah berpanjangan dengan kegemilangan bangsa dalam sejarah.  Jangan taksub dengan memandang ke belakang. Cerpen ‘Di sini Kita Bukannya Orang Dagang’ mempersoalkan tentang peranan sejarah dalam menguruskan kehidupan masakini (hlm. 285/6). Kebesaran empayar Melayu zaman dahulu mungkin menyemarakkan rasa bangga di hati Melayu, tetapi   kebanggaan itu hanyalah sebuah nostalgia yang tidak dapat digapai tangan. Orang tua keramat dalam cerpen ini menyelar kecenderungan sebilangan besar orang Melayu yang mengagung-agungkan sejarah sebagai ‘bercermin kepada orang yang mati’.  Peralatan, kelengkapan yang digunakan pada zaman dahulu – tombak, lembing, perahu, kapal, kubu - tidak lagi dapat diguna secara efisien dalam zaman sekarang. Fenomena sekarang wajar dihadapi dan ditangani dengan kelengkapan dan peralatan sekarang – sains dan teknologi, teknologi maklumat, kejuruteraan automotif, kejuruteraan petrokimia, kalkulus - yang serba canggih. Fenomena sekarang wajar menerima tindakan yang sesuai dengan strategi sekarang. Pada tahun 1940 trend komersialisme sudah mula menyusup ke dalam alam Melayu; maka itu orang Melayu wajar menggembeling komersialisme tersebut dengan ilmu dan kepandaian. Modal, mungkin dalam bentuk wang, tidak akan membuahkan hasil sekiranya wang itu tidak mendapat treatment sewajarnya dengan menggunakan kepintaran (hlm. 287). Begitu juga tanah, dalam bentuk modal mentahnya, tidak akan memanfaatkan jika tiada kepintaran digunakan untuk menyubur dan memakmurkannya. Sejarah silam dengan kegemilangannya tidak seharusnya membuat orang Melayu leka berterusan. Di sebaliknya sejarah silam itu dijadikan pendorong supaya orang Melayu peka dengan keadaan sekeliling dan bertindak sewajarnya untuk menjulang maruah dan nama Melayu. Orang Melayu mesti hidup dalam fenomena waktu sekarang dan bertindak pragmatis.
·        Generasi muda Melayu seharusnya menggalas tanggungjawab membangunkan semula empayar Melayu. Yusof dan rakan-rakan nelayannya telah berjuang memperkasakan empayar Melayu, dan kini tiba giliran generasi muda seperti Ramli meneruskan perjuangan murni untuk mencapai matlamat ungul tersebut. 
Pak Sako sebagai penghibur
Kumpulan cerpen Istana Berembun turut memuatkan beberapa cerpen dalam genre penyiasatan seperti ‘Membunuh Diri’ dan ‘Surat-surat Sesat’. Perbezaan genre penulisan kreatif ini memperkaya dan menambah warna  kepada senario seni kesusasteraan Melayu. Sekurang-kurang minda Melayu yang membaca cerpen-cerpen ini akan terbuka sebuah pintu kepada dunia kesusasteraan yang pelbagai citarasa. Pengalaman Pak Sako sebagai majistret dimanfaatkan dengan menulis kisah perbicaraan di mahkamah. Dengan berbuat demikian, pembaca teruja untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang prosedur dan tatacara di mahkamah.
            Unsur jenaka yang diselitkan dalam cerpen ‘Satu Cerita dari Kampung’ tidak sahaja berperanan sebagai hiburan tetapi juga mengandung unsur kelicikan atau kelihaian orang Melayu menyembunyikan kekurangan pada diri.   


            Terdapat satu pepatah Melayu yang diberi persepsi baru oleh Pak Sako. Pepatah itu berbunyi ikutlah resmi padi, makin tunduk makin berisi. Namun Pak Sako memberi ingatan bahawa jika padi yang berisi itu tunduk pada darjah yang melampau maka itu akan membinasakan dirinya kerana padi itu akan terdedah kepada serangan ayam, itik, dan pemangsa lain (hlm. 290).  Maka itu bagi padi yang sarat berisi, wajar tunduk tetapi tunduk pada tahap yang memada. Para ilmuan dan bijak pandai juga tidak perlu terlampau tunduk sehingga mudah dipijak dan dipengapakan oleh orang lain. Dalam hal ini, amalkan kesederhanaan dan tunduklah pada tempat yang berkenaan sahaja.

KESIMPULAN
Kumpulan Cerpen Pak Sako dengan judul Istana Berembun ialah kumpulan cerpen yang kaya dengan idea politik yang mendukung semangat dan perjuangan kebangsaan Melayu di Tanah Rencong iaitu Tanah Melayu yang belum merdeka.  Dengan ketegasan seorang majistret, dan dengan ketelitian seorang wartawan, Pak Sako menterjemahkan semangat dan perjuangan Melayu dengan memberi takrif kepada bangsa Melayu itu sendiri.
            Jati diri Melayu yang dianjurkan seperti air, wajar ada kedua-dua aspek lembut dan tegas yang dimiliki unsur alam itu. Kelembutan yang diamalkan wajar untuk memupuk ukhuwah dan kesejahteraan sesama manusia, dan ketegasan yang patut dipraktikkan guna untuk mendaulatkan roh dan jati diri Melayu dalam tanah airnya sendiri supaya tidak menjadi pengemis dan meminta-minta di halaman rumah sendiri
Kegemilangan zaman silam tidak seharusnya membuat Melayu leka dengan sorak sorai yang kosong. Di sebaliknya kegemilangan masa lalu mendorong Melayu merebut peluang mengisi ilmu di dada dan menangani zaman sekarang mengikut permintaan sekarang.
Generasi muda – lelaki dan perempuan – harus bergabung tenaga dan semangat menbangunkan semula empayar Melayu – pentadbiran dan kesenian – mengikut acuan sendiri yang memanfaatkan anak bangsa sendiri. Ilmu mutakhir wajar dicari agar dapat bersaing dengan bangsa asing.
Menurut Pak Sako, kehidupan yang sempurna adalah berpaksikan agama, kemudian usaha, pakatan kebangsaan dan ilmu lain yang mesti dipelajari (hlm. 247). Agama akan mendidik Melayu bersopan, beretika, beradat, berbudi, bertaqwa, beriman. Usaha akan mencetuskan  kejayaan dan kebajikan. Pakatan kebangsaan akan mengeratkan jati diri Melayu dan memperkasakan semangat Melayu menegakkan kedaulatannya di tanah airnya sendiri.
Saya amat terharu apabila membaca Ustana Berembun – padat dengan hujahan untuk menegakkan pendirian dan pandangan kebangsaan, yang masih menjadi persoalan besar pada masa kini. Pak Sako mendepani zamannya –mengusulkan Pandang ke Timur,  membentuk pembangunan negara mengikut acuan sendiri.
Isu politik yang dibawa masuk ke dalam cerpen-cerpennya tidak berperanan sebagai gendang kosong, di sebaliknya isu politik ini menjadi teras kepada cerita yang disampaikannya. Isu politik itu bukan satu propaganda tetapi merupakan satu aspirasi maha murni untuk tanah air tercinta. Jati diri Melayu wajar diperkasakan supaya Melayu kekal terbilang dulu dan sekarang. Pada Pak Sako, tiada kompromi dalam mentafsirkan jati diri Melayu. Inilah suara seorang negarawan meluahkan bayangannya tentang sebuah negara Melayu yang berdaulat. Inilah perjuangan sasterawan negara yang berani melafazkan kata hati demi menegakkan kedaulatan negara dan bangsa.

Sedutan pilihan dari 'Jati Diri Kebangsaan Pak Sako Tiada Kompromi' -jurnal Pemikir Jan-mac 2009

       

UNSUR ESTETIKA DALAM PUISI USMAN AWANG



 UNSUR ESTETIKA DALAM PUISI USMAN AWANG

oleh   Amida  Abdulhamid



Pengenalan

            Dua kata kunci yang menggaris penulisan kertas kerja ini ialah ‘estetika’ dan kehadiran unsur estetika berkenaan dalam ‘puisi’ Usman Awang. ‘Estetika’, yang sering disinonimkan dengan falsafah seni, ialah satu cabang teori nilai yang mengkaji nilai-nilai yang dicetuskan panca-indera. Penilaian estetika tertakluk kepada ketajaman deria pada tahap permulaan. Deria yang sensitif akan dapat menghayati kecantikan sekuntum bunga mawar yang sedang mekar, atau dapat mengapresiasi kehalusan tekstur warna  pada sebuah karya catan, atau dapat menikmati keharmonian melodi dan rentak sebuah irama. Penilaian estetika yang unggul akan dapat melangkaui tahap awal sensitiviti deria lantas, dengan meditasi dan kuasa renungan makrifat, dapat disadap intipati pemikiran yang tersirat di sebalik apa yang dirasai panca-indera. Justeru penilaian estetika berhubung rapat sekaligus dengan tiga fakulti iaitu fakulti panca-indera, emosi, dan intelek.

            Cabang teori nilai ini juga sering dikenali sebagai nilai citarasa yang mengenal pasti tentang apakah yang membuat sesuatu itu cantik, comel, harmoni, jelek, menyeronokkan, mengecewakan, tragis, menggelikan hati, atau sublim (menakjubkan). Proses pengenal-pastian nilai citarasa ini boleh berlaku pada lunas-lunas subjektif dan kemudian diselaraskan kepada lunas objektif. Pada dasarnya seseorang yang sudah mendalam kajiannya tentang bentuk dan stilistik catan akan berada pada tempat lebih menguntungkan untuk menilai ukuran estetika pada catan daripada orang lain yang tidak mengambil berat tentang selok belok catan. Walau apa pun sistem yang digunakan untuk menggalurkan unsur estetika pada karya seni, segala pandangan dan penilaian estetika itu bertolak pada hukum sebab-akibat. Sudah pasti sesebuah karya seni itu mempunyai sebab-sebab yang menyumbang kepada efek nilai estetikanya.

           Karya seni berlainan genre, sama ada seni tampak atau seni persembahan – catan, ukiran, kesusasteraan, muzik, drama, tarian, nyanyian – mempunyai aspek-aspek berbeza untuk menentukan nilai estetika dunia masing-masing. Dalam mencerakin nilai estetika pada karya kesusasteraan, pengajian unsur estetikanya menuntut pembacaan yang amat prihatin mendalam yang menimbulkan kesan penganalisisan pada penerimaan pembaca. Dalam puisi, penyair menggunakan pelbagai wahana untuk menjentik dan menguja sensitiviti estetika pembaca. Tertakluk kepada matlamat yang mahu dihidupkan, penyair menggunakan wahana seperti wajah-wajah retorik klasik, ritme, ilustrasi, jukstaposisi, dualisme, imageri, ketegangan, kejutan, humor, satira, sindiran, fantasi, anjakan waktu, berfikir secara kuat, struktur, dan wacana untuk menyampaikan logos puisinya dengan makna yang lebih memukau.

 Unsur fantasi
            Sajak-sajak Usman Awang diilhamkan dari gejolak dunia yang penuh sengketa dengan bilah-bilah derita dan rembesan airmata. Perang meninggalkan kesan yang menghiris jiwa sensitifnya. Namun terdapat sebuah sajak yang, pada pembacaan pertama, akan menimbulkan reaksi romantisme dan fantasi. Dari imageri yang digunakan, terang sekali maksudnya yang fantasi itu. Namun apabila dihalusi, yang fantasi itu melangkaui unsur fizikalnya lalu membawa kepada pemaknaan metafizikal yang amat mendalam. Sajak yang dimaksudkan ialah Kekasih, 1971. Gambaran menyeluruh sajak ini yang menggunakan wajah anafora dengan perulangan kalimah ‘Akan aku...’ pada setiap pembuka bait kecuali bait terakhir, sekaligus perulangan itu menimbulkan pola paralelisme yang berdisiplin. Imageri ‘buih-buih’, ‘gelombang-gelombang’, ‘awan gemawan’, ‘bayu gunung’, ‘bintang timur’, ‘bulan gerhana’, ‘matari’ membawa maksud denotatif yang mudah difahami, namun implikasi konotatifnya menuntut renungan yang lebih teliti untuk mendapatkan impak metafizikalnya.

            Objek buih membawamaksud suatu kesementaraan kerana buih adalah suatu lapisan nipis cecair, lazimnya lutsinar berbentuk sfera yang di dalamnya gas terperangkap; dan buih ini mudah pecah sebagaimana terjadinya pada buih sabun. Maka itu hasrat untuk mengikat dengan ‘buih’ ialah suatu usaha yang sia-sia dan tidak kekal.
           Menganyam gelombang untuk dijadikan ranjang tidur dapat mendukung maksud harfiahnya: tilam air (waterbed). Namun maksud imageri itu tidak terhenti di situ. Objek gelombang lazimnya diasosiasikan dengan lautan yang merupakan sumber khazanah hidupan laut dan pelbagai harta dari pelbagai bentuk bernilai seperti permata dan emas hitam. Nah, bagaimanakah rasanya untuk tidur bertilamkan segala kemewahan dan kemakmuran? Gambaran keselesaan dan puas hati terpampang di mata.
            Secara fizikalnya, awan-gemawan ialah wap air yang bergumpalan seperti kapas putih yang berarak di langit luas. Awan ini membawa bekalan air untuk dihujankan ke bumi dan memakmurkan bumi dengan kehijauan tanaman. Lantas jika awan gemawan itu dijadikan tudung menutupi rambut, secara konotatifnya menyerahkan segala kasih sayang bagi kesejahteraan seseorang.
            Bayu gunung lazimnya membawa kesan rasa dingin yang selesa. Maka itu jika pakaian malam itu dingin lagi selesa, maka tidurnya, insya Allah, lena dan merehatkan. Bintang timur pula lazimnya dikaitkan dengan pelaut dan nelayan yang menggunakan bintang sebagai penunjuk arah apabila berada di tengah segara maha luas. Alangkah intelektual sifatnya untuk menggunakan bintang menjadi penunjuk jalan oleh hati iaitu organ paling dekat dengan dada? Bererti hati (dada) tidak akan bertindak secara melulu emosional. Apabila sudah ada bintang yang menunjuk arah, maka keputusan yang dibuat hati ialah keputusan yang rasional. Tindakan yang rasional akan menjamin situasi yang stabil dan selamat, demikian secara lazimnya.
            Seterusnya imageri bulan gerhana mencadangkan sesuatu fenomena yang tidak selalu berlaku. Maka itu usah dilayan rindu yang mungkin menggoda, tetapi cukup sekadar melayani rindu itu sekali sekala. Rindu yang berpanjangan lagi berterusan mungkin disebabkan rasukan emosi yang tidak terbendung dan ini mungkin memudaratkan. Lalu imageri matari (mungkin ‘matahari’) yang dijadikan ‘malammu’ itu ialah matahari yang dijinakkan hingga cahayanya menghilang dan tidak memanaskan. Sayangnya matari itu akan ‘menghirup sakar madumu’ yang membawa kepada anti klimaks yang tidak disangkakan. Matahari pemberi cahaya dan tenaga inilah yang menamatkan segala nadi kemanisan hidup. Justeru impian dan hasrat yang indah-indah sering digunakan untuk membuang realiti kegetiran hidup jauh-jauh agar hidup menjadi sesuatu yang boleh digalas.

            Siapakah ‘kekasih’ dalam sajak ini? Berdasarkan imageri selendang untuk menutup rambut, dan imageri bintang untuk dijadikan kreosang, maka kecenderungan saya mengatakan ‘kekasih’ itu seorang wanita. Namun adakah di situ sahaja konotasinya? Mungkin ‘kekasih’ itu boleh merujuk kepada tanah air, sebagai satu alternatif. Memandangkan obsesi Usman Awang kepada pergolakan tanah air (juga dunia), maka sajak Kekasih ini mungkin satu sindiran getir halus kepada aspirasi dan impiannya terhadap perkembangan tanah air – bahawa impiannya untuk melihat negara yang makmur (di desa dan di bandar) dengan aspek kesuburan, kemakmuran, keintelektualan hanyalah impian (ilusi) yang diada-adakan untuk menopengi realiti yang kejam. Retorik Usman Awang yang lembut berjaya mengelirukan realiti – dan beliau ialah penyair yang menegur dengan penuh kelembutan. Pada kelunakan retorikanya tersisip hirisan yang mencalar sanubari. Dengan menggunakan visual fantasi beraura romantisme, Usman Awang menyuntik kekecewaan dan sindirannya terhadap gejolak dunia yang mengerikan. (Maaf sekiranya saya mengkhianati aura romantisme yang selama ini diasosiasikan dengan sajak ini).

Kesimpulan

            Pembacaan tiga buah kumpulan/antologi puisi Usman Awang memberi nikmat yang sukar terucapkan dari aspek estetikanya. Puisi-puisi ini menggunakan beberapa wahana susastera untuk menyerlahkan ketegasan maksud, menghidupkan suasana dan mood yang kadang kala kecewa, kadang kala penuh simpati, dan kadang kala sarat dengan nilai kemanusiaan. Kelicikan Usman Awang memanipulasi wajah retorika dapat menukarkan hal yang berunsur vulgar dan erotis kepada sesuatu yang ada humor dan menggelikan hati. Perubahan tekstur ini meningkatkan mutu estetika dan sekaligus meninggikan nilai puisi berkenaan. Kecenderungan Usman Awang menggunakan beberapa aspek dalam wacana naratif untuk meluahkan pemikiran dan perasaannya melalui puisinya membantu menyuntik tenaga ke dalam karyanya. Puisi dalam wacana naratif ini hidup dengan aksi, dialog, panorama latar, yang menyumbang kepada keindahan genre ini. Sungguhpun Usman Awang kelihatan sebagai menjulang romantisme (daripada pemilihan kalimah dan struktur retorikanya) namun aura romantismenya itu hanyalah sebuah ilusi, kerana di sebalik ilusi itu tersembunyi realiti yang menyesak dan mendamba perhatian dan perasaan Sasterawan Negara ini.

Sedutan Pilihan daripada Jurnal Pemikir, Jan - Mac 2011

learning is fun

learning has no end. from my younger days i was fascinated by things around me, and i thirst for information, knowledge. so written media made life so very interesting.